~ al-kisah si penulis ~
ASSALAMUALAIKUM...

Ini cerita benar. Cerita benar seorang penulis yg berjaya. Begini kisahnya...

Entah apa yg selalu bermain pada fikiran ayah. Apabila saya ingin pulang kembali ke kota,dia kerap minta duit seakan-akan mendesak.

" Ada duit? Minta ayah sikit..."

Saya masih ingat waktu itu kehidupan saya terlalu sukar. Untuk mendapat seratus ringgit di dalam poket pada satu-satu masa pun payah. Kalau balik kampung selalunya duit yg ada hanya cukup-cukup tambang. Mujur,isteri dan anak-anak saya sudah pun faham. Alhamdulilah mereka 'sporting' dan tidak banyak meragam.

" Emak, ayah asyik minta duit. Bukan tak mahu bagi,tapi saya memang tak ada duit," bisik saya pada emak.

Emak seperti biasa,berwajah selamba. Sukar ditebak reaksinya.
" Bagilah beberapa yg ada." cadang mak pendek.
" Takkan 5 ringgit?"

Emak mengangguk.
Saya rasa bersalah untuk memberi ayah wang sebanyak itu. Apalah yg boleh dibeli dengan wang 5 ringgit.. Tapi kerana tidak mahu hampakan harapan ayah dan ikutkan cadangan emak,saya gagahi juga memberinya.

Ayah selalu tersenyum menerima pemberian saya. Tetapi yg mengejutkan ialah apabila kami sekeluarga berada di perut bas dlm perjalanan pulang ke kota. Di kocek anak saya sudah terselit wang sepuluh ringgit. Siapa lagi yg memberi kalau bukan ayah? 10 tolak 5, saya masih 'untung' 5 ringgit. Geli hati mengenangnya.

Begitulah selalunya tahun demi tahun. Apabila kami pulang ziarah ke kampung, saya akan memberi wang permintaan ayah. Kekadang terlupa, tetapi ayah selalu mengingatkan. Akhirnya, saya memang sediakan peruntukan khas utk diberi kepada ayah setiap kali pulang kampung. Kedudukan ekonomi saya yg masih goyah kekadang hanya mengizinkan wang 2 ringgit utk diberikan kepada ayah. Ironinya,ayah tetap dengan permintaannya dan tetap senyum apabila menerima. Tidak kira berapa jumlahnya. Emak terus-terusan selamba. Saya masih sukar menandingi ketajaman rasa seorang isteri (emak) dalam memahami hati suaminya (ayah).

Begitu pun,setiap kali dalam perjalanan pulang, kocek anak saya akan jadi sasaran. Kekadang itulah duit pelengkap membeli tiket pulang. Ayah akan setia memasukkan duit yg melebihi jumlah yg saya berikan kepadanya. Saya tidak mengambil masa yg lama utk memahami apa maksud tersirat di sebalik perlakuan ayah itu. Dia meminta wang pada saya bukan kerana 'tidak ada' , tetapi ada sesuatu yg lebih besar ingin dicapainya atau disampaikannya.

Namun secara bertahap-tahap,buku penulisan saya semakin mendapat sambutan. Bukan itu sahaja, perniagaan yg saya mulakan secara kecil-kecilan semakin membesar. Kalau dulu kami pulang ke kampung dengan bas, tetapi selepas beberapa tahun saya pulang dgn kereta milik sendiri. Saya masih ingat komen ayah ketika saya sekeluarga mula pulang dengan kereta kecil Kancil milik kami sendiri.

" Nanti besarlah kereta kamu ni..." ujar ayah senyum.
Apa pun, saya tetap memenuhi permintaan ayah setiap kali hendak pulang. Wang saya hulurkan kepadanya. Dan ayah juga konsisten dgn sikapnya, ada sahaja wang yang diselitkan dalam kocek anak saya.

" Eh, tak payahlah ayah..." Sekarang saya mula berani bersuara. Ekonomi keluarga dah agak stabil. Malu rasanya mengambil duit ayah walaupun dengan perantaraan pemberian datuk kepada cucunya. Saya tahu dan sedar, hakikatnya ayah hendak memberi kepada saya sejak dulu. Tetapi sengaja dia tidak ingin saya merasa segan, duit diberi melalui anak.
" Kenapa,dah kaya?" usik ayah. Hendak tak hendak, duit di kocek anak tetap diselitkannya. Cuma sekarang bezanya,duit itu tidak lagi 'dikebas' oleh saya. Dan dalam hati, saya mula berasa senang kerana jumlah yg saya berikan kepada ayah, kini sudah melebihi apa yg mampu diselitkan ke kocek anak saya. Tidak semacam dulu lagi, duit pemberian ayah kepada anak saya sentiasa melebihi duit pemberian saya kepadanya.

Masin sungguh mulut ayah. Tidak sampai 3 tahun, kami bertukar kereta. Di samping menulis, saya menjadi penerbit. Perniagaan semakin rancak. Oleh sebab bilangan anak bertambah dan keperluan kerja yg meningkat saya sudah membeli sebuah MPV untuk kegunaan jarak jauh dan sebuah lagi kereta untuk kegunaan harian. Anak-anak mula menjejak menara gading. Kehidupan semakin laju dan aktiviti semakin rancak. Namun bagaimana sibuk sekalipun saya tetap pulang menziarahi ayah dan ibu. Anehnya, ayah tetap memberi kepada anak saya walaupun kini saya telah dikenali sebagai korporat yg berjaya.

Rupa-rupanya, ayah memberi bukan kerana kekurangan atau kelebihan kami, tetapi dia memberi kerana Allah. Mencontohi ALLAH al-Wahhab itu!

PESANAN PENULIS ITU :

" Kini aku benar-benar faham bahawa ibu ayah yg tua bukan beban dalam kehidupan di dunia, lebih-lebih lagi untuk kehidupan di akhirat. Mereka bukan ' liabiliti ' tetapi sebenarnya aset untuk kita ( walaupun istilah itu sebenarnya kurang ataupun tidak tepat, kerana ibu bapa bukan benda). Rugi betul siapa yg mempunyai ibu bapa yg telah tua tetapi mengabaikannya."

" Memberi kepada ibu bapa hakikatnya memberi kepada diri sendiri, walaupun itu bukan niat kita ketika memberi, tetapi percayalah rezeki berganda akan pulang kepada kita semula. Doa mereka mustajab. Harapan mereka kenyataan. Kasih mereka bekalan. Benarlah sepertimana sabda Rasulullah SAW, keredaan Allah itu terletak kepada keredaan ibu bapa."




Label: edit post
0 Responses

Catat Ulasan

pesanan anda

Related Posts with Thumbnails
  • DGN NAMA ALLAH..

    PENGIKUT

    wawwi.com